Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menyatakan tiada pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang keracunan makanan seperti didakwa.
Mara berkata, siasatan dilakukan pihak pengurusan MRSM bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) juga mendapati dewan selera institusi itu dalam keadaan bersih serta proses pengendalian makanan mematuhi standard yang ditetapkan.
Dalam kenyataan yang sama MARA berkata, Lanjutan daripada pemerhatian tersebut, PKD dan pihak pengurusan MRSM memberi beberapa teguran ke atas pengusaha dewan selera.
Siasatan ini dilakukan ekoran sebuah hantaran yang dibuat oleh seorang ibu kepada pelajar di MRSM tersebut yang mendakwa dewan selera sekolah itu menghidangkan telur rosak yang menyebabkan ramai pelajar mengalami sakit perut dan cirit-birit.
Hantaran yang tular di Facebook itu turut mendapat perhatian Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, yang memaklumkan pihaknya mengarahkan timbalan ketua pengarah pendidikan Mara menyiasat kejadian tersebut dan mengambil tindakan tegas serta memastikan kes tidak berulang.
Mara berkata pihaknya prihatin dengan kebajikan dan keselamatan seluruh pelajar di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk MRSM dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika perkara seumpama ini berlaku mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Mara meminta ibu bapa tidak perlu bimbang dan sentiasa berhubung dengan pihak pengurusan MRSM berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya