Buletin

Warga emas, penerima Sinovac perlu dapat dos penggalak selewatnya Feb 2022

Semua populasi berusia 60 tahun ke atas dan melengkapkan vaksinasi, tanpa mengira jenis vaksin serta penerima vaksin Sinovac yang berusia 18 tahun ke atas perlu mendapatkan dos penggalak selewat-lewatnya Februari tahun depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sekiranya gagal, status vaksinasi mereka akan ditukarkan menjadi tidak lengkap.

“Sekiranya kumpulan individu yang dinyatakan masih tidak mendapatkan suntikan dos penggalak selepas bulan Februari 2022, status vaksinasi akan ditukarkan menjadi tidak lengkap,” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Khamis.

Sehubungan itu, Khairy memberitahu, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega akan diwujudkan semula bagi mempercepatkan pelaksanaan program pemberian dos penggalak. Langkah ini akan dimulakan di Lembah Klang.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan akan mengumumkan lebih banyak negara berisiko tinggi yang akan dimasukkan dalam senarai dalam negara berisiko tinggi dengan terbaharu Nigeria dimasukkan.

Menurutnya, pengembara dari negara-negara itru akan dipakaikan gelang pengawasan digital  sepanjang tempoh kuarantin.

“Bagi pengembara yang kembali dari United Kingdom (UK) mesti lakukan ujian pengesanan kendiri setiap hari sepanjang menjalani tempoh kuarantin dan melaporkan keputusan ujian tersebut dalam aplikasi MySejahtera, iaitu tujuh hari bagi yang telah lengkap vaksinasi dan 10 hari bagi yang tidak lengkap vaksinasi,” jelasnya.

Lapan negara yang dikenakan sekatan kemasukkan adalah Afrika Selatan, Botswana, Mozambique, Namibia, Malawi, Zimbabwe, Lesotho dan Estwatini.

Sementara sembilan negara yang disenaraikan sebagai negara berisiko tinggi dan memerlukan pengembara memakai peranti pengesanan digital adalah UK, Amerika Syarikat (AS), Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria.

PALING POPULAR

To Top