Warganet menuntut Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berundur sebagai presiden Muda dan melupakan hasrat bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Ia susulan penyandang kerusi Parlimen Muar itu berkata, keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, yang mengarahkannya membela diri atas empat tuduhan jenayah, tidak akan melemahkan semangatnya.
Malah, bekas menteri belia dan sukan itu memberi bayangan dia mungkin mempertahankan kerusi Parlimennya pada PRU15 19 Nov ini dengan berkata, akan menyerahkan kepada pengundi untuk menentukan nasibnya.
Pengguna Twitter @aminothman memberitahu Syed Saddiq agar menunaikan apa yang diperkatakannya sebelum ini, dan berundur “secara terhormat” daripada menjadi calon PRU15.
“Jangan amalkan ‘double standard’. Orang Umno dituduh mahkamah dikatanya perompak, tapi bila kamu dituduh di mahkamah, dikatanya (pendakwaan) terpilih.
“Biar mahkamah bersihkan tuduhan terhadap kamu dahulu,” katanya dalam balasan kepada ciapan Syed Saddiq.
Pengguna Twitter @acappress berkata, jika Syed Saddiq mahu menetapkan “tanda aras politik matang”, dia harus meletak jawatan sebagai presiden Muda dan tidak bertanding pada PRU15.
“Fokus pada kes mahkamah. Lima tahun tak lama untuk tunggu PRU seterusnya,” katanya.
Sementara itu, @mal_ae menasihatkan Syed Saddiq supaya tidak mencalonkan diri dan memberi peluang kepada orang lain bertanding di kerusi Parlimen Muar.
“Harap dapat ikut contoh Rafizi (Ramli). Dia tahu yang memang dia tidak salah dan dia menang (bertanding),” katanya.
Walaupun segelintir pengguna Twitter mengucapkan selamat kepada Syed Saddiq untuk kesnya, yang lain secara berseloroh mengalu-alukannya sebagai ahli “kluster mahkamah”.
“Kluster mahkamah” merujuk kepada pemimpin Umno terkemuka, termasuk Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak, yang sama ada dibicarakan atau telah disabitkan dengan tuduhan membabitkan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
“Tuan sudah menjadi salah seorang dari golongan kluster mahkamah sekarang. Dengan hormatnya kami minta anda menarik diri dari pencalonan dalam PRU15,” kata @ABarkoba dalam ciapan di Twitter.
Terdahulu, Hakim Azhar Abdul Hamid memerintahkan Syed Saddiq, 29, membela diri atas tuduhan bersubahat dalam pecah amanah jenayah, penyelewengan aset dan pengubahan wang haram.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas penolong bendahari Pemuda Bersatu Rafiq Hakim Razali dalam pecah amanah jenayah membabitkan RM1 juta pada 6 Mac 2020.
Sebagai ketua Pemuda Bersatu ketika itu, Syed Saddiq telah diamanahkan dengan dana itu.
Dia juga didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun bank milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk dirinya sendiri.
Mahkamah menetapkan 22 hingga 24 Feb, 13 dan 14 Mac serta 10 hingga 14 April untuk pihak pembelaan menjalankan kesnya.
Sumber: FMT News