Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, naib presiden dan perdana menteri sementara parti itu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih calon tunggal Barisan Nasional (BN) untuk jawatan Perdana Menteri.
“Kita boleh lihat poster dan papan iklan beliau (Ismail Sabri) di mana-mana termasuk di Bagan Datuk,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada Ismail Sabri masih poster boy BN.
Ketika sesi sidang media di rumahnya, Zahid berkata walaupun pemimpin politik boleh mencalonkan, calon Perdana Menteri mereka, namun ia perlu menghormati titah Yang di-Pertuan Agong.
“Saya bukan perdana menteri buat masa ini, walaupun saya (kini) presiden Umno dan pengerusi BN. Jadi dalam keadaan ini, sudah beberapa lama kita diterajui oleh seorang perdana menteri dari Umno.
“Jadi isu ini tidak harus dibincangkan kerana proses pemilihan Perdana Menteri bukan sahaja terletak di tangan mana-mana parti politik tetapi juga Agong.
“Kita mesti menghormati budi bicara mutlak Agong berdasarkan perlembagaan persekutuan di bawah Perkara 43,” katanya menjawab apabila pemberita bertanyakan tentang adakah beliau berpotensi menjadi presiden Umno pertama yang tidak menjadi Perdana Menteri.
Beliau juga menegur mantra kempen pesaing politik gabungan itu yang mengatakan “undi untuk BN adalah undi untuk Zahid” dengan mengatakan ia hanyalah slogan untuk berkempen.
“Itu sudah menjadi slogan Pembangkang dan semasa berkempen, mereka hanya membawa sebarang isu untuk membantu calon mereka menang.
“Tetapi perkara paling penting bagi BN ialah kita perlu menyeberangi jambatan untuk memenangi pilihan raya akan datang dan mempunyai kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan persekutuan,” katanya.