Amalan rasuah dan penyelewengan yang bagaikan sudah sistemik telah merosakkan pentadbiran kerajaan sekali gus mencalar imej Malaysia, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bahkan, dalam masa sama, kata Perdana Menteri, Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2022 juga telah jatuh merudum ke tangga 61 jika dibandingkan tangga 29 yang pernah dicapai pada 1998.
“Transparency International Malaysia menyebut asbab kemerosotan ini kerana kegagalan membendung rasuah politik.
“Laporan Ketua Audit Negara 2020 dan 2021 mendedahkan, wujud ketirisan hampir RM3 bilion meliputi kehilangan wang awam, pembaziran dan juga pembayaran tidak teratur.
“Umpamanya, isu terkurang kutip duti import kenderaan, kerajaan telah hilang RM72 juta hanya disebabkan proses kutipan duti import yang lemah.
“Selain itu, wujud juga ketirisan dalam pelaksanaan subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel diselewengkan pada tahun lalu,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023 Malaysia Madani di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat.
Tegas Perdana Menteri, situasi itu adalah bukti pelbagai ketelanjuran yang memberi dampak buruk kepada negara.
“Ini mesti dihentikan jika kita mahu negara ini beranjak ke hadapan dengan gagah dan gemilang.
“Kita yang menentukan apakah masa depan negara akan rencat, melonjak atau terpenjara dan ia tergantung kepada ruang kebijakan yang ingin diterjemahkan,” ujarnya.
Sumber: Astro Awani