Umum

‘Anwar angkuh’ pertahan penggunaan helikopter kerajaan untuk berkempen, kata peguam

Seorang peguam menyelar tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang hadir ke program di Kedah menaiki helikopter kerajaan, mengatakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu sekali lagi jelas menunjukkan sisi keangkuhannya.

Rafique Rashid berkata bukan itu sahaja, perbuatan Anwar turut memaparkan satu lagi “langkah sumbang” oleh kerajaan pimpinannya.

“Keangkuhan PM10 jelas terpacul dari mulutnya apabila menyindir lawan mengenai haknya menggunakan helikopter milik kerajaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Pada Jumaat, kehadiran Anwar mencuri perhatian penduduk kawasan luar bandar negeri Kedah apabila beliau memilih helikopter sebagai pengangkutan untuk hadir program di Jeneri dan Kupang.

Sabtu lalu, Anwar menegaskan, beliau berhak menggunakan kemudahan itu berikutan kedudukannya sebagai perdana menteri.

“Saya naik heli ke Jeneri mereka marah, kenapa naik heli? Sekarang ini heli kerajaan, yang hang nak sakit hati kenapa?

“Kerajaan punya, bukan aku punya. Hang tak boleh pakai, perdana menteri boleh pakai,” katanya seperti dilaporkan media dalam program di Felda Teloi Timur pada Jumaat.

Kawasan Felda itu, sebahagian dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor kini dalam usaha mempertahankan kerusinya menentang Ketua Umno Bahagian Sik Muhamad Khizri Abu Kassim.

Menurut Rafique, Anwar sememangnya mempunyai kelebihan dan keistimewaan untuk menggunakan helikopter itu atas kapasitinya sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, menjadi satu kebimbangan apabila sejak kebelakangan ini dilihat hampir setiap hari jenis pengangkutan yang sama dikesan turut digunakan bagi menjelajah seluruh enam negeri yang bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) semata-mata untuk beri ceramah politik.

Ketika hadir ke dua program itu, Anwar dilaporkan menaiki helikopter jenis Agusta Westland AW139 dengan nombor pesawat 9M-JPM.

Helikopter itu digunakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) khusus untuk kegunaan pimpinan utama negara sejak dua tahun lalu, apabila ia mula dijejaki sejak September 2021.

Selain helikopter dinaiki Anwar, dua lagi helikopter lain turut dilihat mendarat di padang awam berhampiran lokasi majlis itu berlangsung.

Mengulas lanjut, Rafique mempersoalkan pendirian Anwar dan PH yang sebelum ini ketika berada di blok pembangkang bersuara lantang mengkritik kerajaan dari gabungan Umno-Barisan Nasional (BN) daripada menggunakan aset kerajaan.

Ini termasuk juga penyalahgunaan aset kementerian-kementerian semasa tempoh berkempen pada musim pilihan raya.

“Kos ditanggung oleh rakyat tetapi yang untung adalah parti politik yang diketuai PM10 sendiri. 

“Mengapa tiada teguran dari parti-parti gabungan lain?” soalnya.

Menurut Rafique, meskipun Anwar tetap dengan jawapannya menggunakan helikopter itu bagi menghadiri program-program kerajaan, persepsi dan tanggapan negatif bokeh timbul dalam benak fikiran masyarakat.

Ini terutamanya rakyat boleh berfikir tindakan Anwar seolah-olah menyalahgunakan aset di ambang PRN yang pada masa sama dilabel sebagai referendum kepada prestasi kerajaan campuran pimpinan beliau sendiri. 

Selain itu badan pemantau pilihan raya, Bersih turut memberi ingatan bahawa sikap “angkuh” dan “bongkak” seperti yang ditunjukkan oleh perdana menteri mungkin akan memakan diri sendiri kerana rakyat tidak akan bersetuju dengan salah guna jentera kerajaan untuk berkempen.

“Reformasi yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan perlu dilaksanakan tanpa mungkir, dan tidak sekadar menanam tebu di bibir sebagai janji pilihan raya,” kata Bersih dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sumber: MalaysiaNow

PALING POPULAR

To Top