Umum

Dakwaan seleweng RM92.5 bilion adalah satu fitnah – Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dakwaan dana kerajaan berjumlah RM92.5 bilion diselewengkan ketika pentadbirannya merupakan satu pembohongan besar dan fitnah.

Beliau menegaskan bahawa dakwaan ini adalah satu rekaan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menjatuhkan Perikatan Nasional (PN) yang bersandarkan kepada cerita rekaan atas rekaan.

Muhyiddin juga menerangkan bahawa perbelanjaan fiskal di bawah pakej rangsangan ekonomi bukan dalam bentuk projek yang boleh diselewengkan, tetapi sebahagian besarnya adalah pemberian tunai langsung kepada rakyat (direct cash transfer) seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Prihatin dan Subsidi Upah.

“Bagaimana dana ini boleh diseleweng jika ia merupakan pemberian tunai langsung kepada rakyat?

“Kutipan komisen 3%-5% daripada perbelanjaan fiskal ini juga adalah rekaan. Bagaimana saya boleh kutip komisen daripada perbelanjaan ini?

“Adakah 10.6 juta rakyat yang menerima BPN memberi komisen kepada saya? Adakah 2.96 juta pekerja yang menerima subsidi upah memberi komisen kepada saya? Tentu sekali tidak,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya pada Selasa.

Muhyiddin juga menjelaskan, tidak ada dana berjumlah RM4.5 bilion seperti didakwa PH dan BN dalam akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan akaun peribadinya.

Katanya, sebagai sebuah parti politik, Bersatu mempunyai dana hasil sumbangan pihak-pihak yang menyokong perjuangan parti tersebut.

“Akaun parti Bersatu diurus secara telus di mana setiap terimaan dan perbelanjaan direkod, diaudit dan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan mengikut kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

“Sumbangan untuk dana pilihan raya juga dimasukkan ke dalam akaun parti. Walaupun negara kita masih belum mempunyai undang-undang pendanaan politik, saya percaya setiap sumbangan yang diterima oleh Bersatu tidak menyalahi mana-mana undang-undang atau peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya lagi.

Muhyiddin yakin siasatan SPRM akan mendapati bahawa tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun Bersatu atau akaun beliau adalah palsu.

Beliau juga menegaskan Bersatu akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

To Top