Buletin

Gunung Berapi Semeru korban meningkat kepada 22 orang

Gunung Berapi Semeru dikesan aktif semula pada Isnin apabila memuntahkan awan panas berabu, dua hari selepas letusan kuat yang mengorbankan 22 nyawa dan menyebabkan puluhan masih hilang.

Gunung Semeru, gunung tertinggi di Pulau Jawa, meletus secara mendadak pada Sabtu, menyebabkan abu dan asap yang menyelubungi kampung sekitar.

Rakaman dari udara menunjukkan pihak berkuasa dan penduduk menggali lumpur dengan tangan mereka untuk mengeluarkan mangsa yang masih hilang.

Setakat Selasa, angka kematian meningkat kepada 22 orang manakala 27 lagi dilaporkan hilang.

Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi Indonesia mengesahkan gunung berapi itu meletus semula pada Isnin dan memberi amaran aktiviti itu akan berterusan.

Beberapa penduduk pulang ke rumah masing-masing untuk memeriksa barangan dan ternakan, tetapi pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk menjaga jarak selamat.

Di kawasan Sumberwuluh, pasukan penyelamat bergelut dengan cuaca buruk untuk mengeluarkan mangsa daripada runtuhan.

Menyukarkan logistik dan usaha menyelamat, aliran lahar akibat letusan Sabtu memusnahkan sebuah jambatan yang menghubungkan dua kawasan di daerah Lumajang dengan Kota Malang.

Dapur awam dan kemudahan kesihatan telah disediakan untuk lebih 1,700 orang yang telah dipindahkan.

Semeru ialah salah satu daripada lebih 100 gunung berapi aktif di Indonesia, sebuah negara yang merentasi Lingkaran Api Pasifik.

PALING POPULAR

To Top