Umum

Kastam Johor rampas minuman keras dan rokok kretek bernilai RM3.12 juta

Jabatan Kastam Diraja Malaysia Negeri Johor merampas pelbagai minuman keras dan rokok kretek yang dianggarkan bernilai RM3.12 juta menerusi tiga serbuan di sini dan Segamat pada 30 Nov dan 1 Jan lepas.

Pengarahnya Misbahudin Parmin berkata rampasan pertama pada 30 Nov lepas melibatkan sejumlah minuman keras bernilai RM1.74 juta itu dilakukan menerusi pemeriksaan tiga kontena di Pelabuhan Johor, di sini.

Beliau berkata minuman keras jenis bir yang dipercayai diseludup dari China itu, ditemukan di dalam kotak minuman jus epal berkarbonat.

“Rampasan bir itu adalah bernilai  RM234,000 dengan keseluruhan jumlah termasuk duti cukai dan kontena dianggarkan sebanyak RM1.49 juta,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata barangan dagangan seperti bir memerlukan lesen import daripada Ketua Pengarah Kastam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 133 (1) (a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

Dalam kes berlainan, Misbahudin berkata pihaknya merampas pelbagai minuman keras bernilai RM103,400 yang disembunyikan di dalam sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Cemerlang, Ulu Tiram di sini, dan turut menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun, pada 1 Jan lepas.

“Minuman keras itu disimpan di dalam sebuah bilik dan nilai rampasan RM21,400 dengan keseluruhan anggaran duti cukai berjumlah RM82,000.

“Bagaimanapun, kita masih menyiasat daripada mana minuman keras ini diseludup dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1) (c) Akta Eksais 1967,” katanya.

Sementara itu, pihaknya turut merampas 764,000 batang rokok kretek bernilai RM1.27 juta yang ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Pogoh Tengah di Segamat pada 1 Jan lepas.

“Pasukan penguat kuasa menemukan rokok kretek pelbagai jenama itu yang disorokkan di bawah kanvas, ia dipercayai disimpan sementara di ladang terbabit sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Anggaran keseluruhan nilai barang rampasan adalah sebanyak RM275,000 dengan keseluruhan anggaran jumlah duti cukai sebanyak RM1 juta,” katanya. 

Beliau berkata rokok berkenaan dipercayai diseludup dari Indonesia dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top