Umum

Keputusan Syed Saddiq bebas atau bersalah 9 November

Keputusan sama ada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilepaskan atau disabitkan atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram akan diputuskan Mahkamah Tinggi, di sini pada 9 November depan.

Menerusi semakan dalam sistem kehakiman pada Khamis, keputusan di akhir kes pembelaan itu akan diputuskan oleh Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid, pada jam 9 pagi.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin ketika dihubungi mengesahkan tarikh tersebut.

Pada 14 Mac lalu, pasukan pembelaan menutup kesnya selepas memanggil empat saksi.

Bicara bela diri itu bermula pada 22 Februari, dengan Syed Saddiq tampil selaku saksi pertama.

Pada 28 Oktober 2022, Syed Saddiq, 30, diperintahkan membela diri atas empat pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bekas Ketua Armada itu didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan. – Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top