Umum

Tiada keperluan mewajibkan ujian saringan air kencing, CUEPACS.

CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam) telah menyatakan pendirian bahawa tiada keperluan diwajibkan ujian saringan air kencing secara berkala terhadap kakitangan kerajaan.

Kenyataan itu telah dibuat oleh Datuk Adnan Mat, Presiden CUEPACS yang juga menyatakan gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan kakitangan kerajaan tidak membimbangkan kerana program pencegahan sentiasa dilaksanakan secara berkala.

Menurut laporan di Harian Metro, dalam mengulas saranan supaya kerajaan mewajibkan ujian saringan air kencing secara berkala dan mengejut ke atas semua penjawat awam, Datuk Adnan Mat menyatakan bahawa ujian tersebut sudah dilakukan sejak dahulu lagi dalam perkhidmatan awam mengikut keperluan.

Mengulas lanjut, beliau berkata setiap ketua jabatan diberikan garis panduan yang jelas bagi merancang dan melaksanakan program pencegahan serta membasmi kegiatan penagihan dadah dalam kalangan pegawai dan kakitangan masing-masing termasuk penubuhan pasukan khas bagi melaksanakan ujian air kencing.

Bagaimanapun, CUEPACS akan sentiasa menyokong program yang dilaksanakan secara berkala yang berbentuk pendidikan dan pencegahan.

Terdahulu, terdapat saranan agar kerajaan mewajibkan ujian saringan air kencing secara berkala dan mengejut ke atas seluruh kakitangannya.

Saranan tersebut telah dibuat oleh Kamal Afendi Hashim, penganalisis jenayah, yang juga berkata, perlaksanaanya dapat menandakan keseriusan kerajaan terhadap penyalahgunaan dadah dan dapat memperbaiki pandangan awam akibat pembabitan segelintir mereka dengan masalah itu.

Beliau juga mencadangkan ia dijalankan untuk semua peringkat pentadbiran termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri

 

 

Sumber Harian Metro

PALING POPULAR

To Top