Umum

Kerajaan PN baharu akan dedah fail sulit skandal tanah RM10 bilion di Selangor: Chegubard

Satu laporan sudah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pemberian projek bernilai RM700 juta tanpa tender oleh kerajaan negeri Selangor kepada syarikat dimiliki taikun terkemuka.

Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin mendedahkan memiliki salinan surat sulit kerajaan negeri Selangor dalam skandal tanah RM10 bilion dan projek tanpa tender RM700 juta yang boleh dinyahklasifikasi apabila terbentuknya kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

“Saya tidak boleh mengedarkan pada peringkat ini, kerana ia bertaraf sulit… Jadi kalau orang Selangor nak tengok apa sebenarnya mungkin selepas kerajaan baharu angkat sumpah nanti kita boleh minta kerajaan baharu untuk klasifikasi semula dokumen-dokumen ini sebagai umum,” katanya semasa sidang media hari ini.

Dalam pendedahan hari ini, Ahli Jawatankuasa Penerangan Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mendakwa berdasarkan bukti dan dokumen dimilikinya mendapati berlaku beberapa salah laku dari segi teknikal dan moral dalam skandal tanah dan projek pembersihan tersebut.

Badrul Hisham atau dikenali Chegubard mendedahkan kerajaan negeri menganugerahkan projek pembersihan Sungai Klang tanpa tender terbuka kepada syarikat yang kononnya adalah anak syarikat negeri tetapi sebaliknya ia hanya pemegang minoriti bukan dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Amirudin Shaari selaku Menteri Besar Selangor telah memberikan projek membersihkan Sungai Klang kepada sebuah sebuah syarikat bernilai RM700 juta tapa melalui proses tender terbuka.

“Walaupun ia syarikat bertujuan khas (SPVC) tetapi la bukan dikawal kerajaan negeri kerana kerajaan negeri adalah pemegang minoriti dimana 55 peratus dikawal oleh pihak lain,” katanya lagi.

Agenda Daily tidak menamakan syarikat yang didedahkan oleh Chegubard untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Turut didedahkan, syarikat sama tersebut juga berjaya memperoleh pemilikan tanah lebih 600 ekar yang bernilai RM10 bilion (GDV) yang diberikan kerajaan negeri Selangor.

Badrul Hisham juga mendedahkan nama Amirudin dan seorang Exco Kerajaan Negeri, Ir. Izham Bin Hashim berada dalam syarikat tersebut menerusi carian maklumat dan mereka berdua selaku pengarah juga turut menerima elaun.

Syarikat yang didakwa memperoleh manfaat daripada kerajaan negeri tersebut juga didakwa Chegubard mempunyai masalah kewangan.

“Syarikat ini pun bermasalah sebelum ini melalui laporan-laporan audit, tetapi malangnya terus diberi kuasa,” katanya lagi.

Untuk rekod, Amirudin juga mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kerana menuduhnya terbabit dalam skandal pembersihan Sungai Klang bersama seorang taikun.

Terdahulu, Sanusi dalam Jelajah Mega PN Best “Sayangi Kedah Sejahtera” di Dataran Darul Aman, Jitra, mendakwa wujud skandal antara Amirudin dengan seorang taikun yang kononnya mahu melaksanakan projek RM10 bilion di Sungai Klang.

Sebagai timbal balas, taikun itu akan mendapat tanah 600 ekar di Selangor yang dijangka merugikan kerajaan sekitar RM180 juta.

“Macam mana 600 ekar ni akan diberi percuma kepada tauke ni? Macam mana tauke ni ambil alih anak syarikat MBI 55%. Ha… ni tengah duk hangat ni, tunggu meletup,” Sanusi dipetik berkata oleh lidah rasmi PAS, Harakahdaily.

Awal tahun ini, PN Selangor menggesa pihak berkuasa menyiasat pembabitan Amirudin dengan sebuah syarikat yang didakwa dianugerahkan projek bernilai RM700 juta secara rundingan terus bagi projek pendalaman Sungai Klang bawah Selangor Maritime Gateway (SMG).

Amirudin menafikan mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam syarikat Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB), malah kedudukannya dalam syarikat itu bertujuan mewakili kerajaan negeri.

LLB adalah milik penuh kerajaan negeri merangkumi 45 peratus milik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) dan 55 peratus milik Berjaya Land yang telah diputuskan bagi mengetuai projek SMG pada 2018.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top