Umum

Kewibawaan Kabinet Anwar terjejas setelah Zahid dilantik TPM: IDEAS

Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) gusar dan bingung dengan pelantikan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM), sekali gus menjejaskan kewibawaan Kabinet baharu Kerajaan Persekutuan.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr Tricia Yeoh berkata pengumuman pelantikan barisan Kabinet Kerajaan Persekutuan dinanti-nantikan baik pada peringkat domestik atau antarabangsa.

Namun, katanya keputusan untuk melantik Zahid ke jawatan TPM di sebalik pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah amat membingungkan.

Pada masa sama beliau berkata IDEAS juga menyeru pengasingan peranan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kerana tiada pengawasan terhadap portfolio paling penting dalam Kabinet.

“Walaupun mencapai kestabilan, pelantikan Zahid sebagai TPM yang memegang portfolio strategik memberi isyarat salah daripada kerajaan yang berikrar untuk mematuhi prinsip tadbir urus yang baik.

“Walaupun tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan melalui semua proses rayuan sudah memadai untuk mengekalkan kerusi di Parlimen, ahli-ahli Kabinet yang dilantik perlu mempunyai standard yang lebih tinggi.

“Hal ini penting untuk memastikan keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan hari ini,” Dr Yeoh dalam satu kenyataan dalam laman sesawang institut itu hari ini (3 Disember 2022).

Menurut Dr Yeoh lagi pelantikan Perdana Menteri (PM) yang turut menjaga portfolio Kementerian Kewangan tidak selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik yang telah diisytiharkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai agenda teras kerajaan perpaduan.

Beliau berkata Pakatan Harapan (PH) juga memberi komitmen untuk mengasingkan portfolio juga dibuat dengan tegas dalam manifesto pilihan raya sebelum ini.

“Skandal rasuah 1MDB sebahagiannya dipermudahkan dengan membenarkan seorang individu memegang dua jawatan penting Kabinet secara serentak.

Tiga pentadbiran sebelum ini telah cuba mengubah tradisi ini dengan melaksanakan pengasingan kuasa antara jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

“Walaupun secara politik sukar untuk menamakan Menteri Kewangan dalam kerajaan perpaduan, peranan perlu diasingkan untuk proses semak dan imbang.

“Kami mencadangkan Perdana Menteri harus komited untuk mencari seorang Menteri Kewangan yang sesuai; seseorang yang boleh melaksanakan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab. Menteri Kewangan juga perlu mengawasi pembaharuan fiskal seperti melaksanakan Akta Tanggungjawab Fiskal yang tergendala sejak sekian lama,” kata Dr Yeoh lagi.

Dr Yeoh juga berkata sudah tiba masanya PH melaksanakan manifesto pilihan raya yang dijanjikan oleh gabungan itu kepada pengundi, walaupun setiap gabungan menekankan aspek dasar yang berbeza dalam manifesto masing-masing, kebanyakannya berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk meringankan beban rakyat dan mempercepat pembaharuan institusi.

“IDEAS pastinya berharap pembaharuan institusi utama yang disebut oleh BN dan PH ketika tempoh berkempen seperti janji untuk menggubal Undang-undang Pendanaan Politik dan pengasingan kuasa antara peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara akan dilaksanakan dengan pantas.

IDEAS juga kata Dr Yeoh berharap Perikatan Nasional dapat memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan serta adil selain membentuk Kabinet bayangan untuk terlibat secara konstruktif dalam pembuatan dasar.

“Dengan membentuk Kabinet Bayangan dan memberikan kritikan yang membina terhadap dasar-dasar kerajaan, Perikatan Nasional akan berjasa besar kepada negara bukan sahaja melalui menyediakan mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan, tetapi juga dengan mengalihkan naratif awam semasa daripada propaganda politik yang memecahbelahkan,” katanya.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top