Umum

Shahidan cadang lagu ‘penyamun’ didendang PH kepada UMNO ditukar

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengungkap sindiran ‘pedih telinga’ kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, apabila menyarankan lagu ‘hoi ya hoi mereka semua penyamun’ ditukar.

Beliau mencadangkan lagu ‘Aduh Malaysia’ yang sering dinyanyikan penyokong PH kepada BH dan UMNO sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, ditukar setelah kedua-dua parti itu bergabung membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Yang seterusnya (adalah) lagu ‘hoi, hoi ya hoi, mereka semua penyamun’ (lagu Aduh Malaysia), saya ingat kena tukar lagu itu sebab lagu itu (difahamkan) ditujukan kepada UMNO.

“Sekarang ini, oleh kerana UMNO telah berkahwin dengan PH, jadi lagu itu kena tukarlah, macam (kerajaan), Ismail Sabri ada lagu Keluarga Malaysia.

“(Jadi) lagu ‘hoi ya hoi’ itu memang tidak sesuai, saya ingat lagu-lagu daripada (filem) Keluarga 69 itu sesuai diambil untuk jadi panduan.

“Kalau tidak nanti semua orang akan mula menyanyi lagu ‘hoi ya hoi mereka penyamun’ itu dan (kerajaan PH-UMNO mungkin) tidak tahan lamalah (sebab tiada lagu kerajaan),” katanya menurut Awani.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menyindir lagi bahawa lagu paling sesuai untuk dinyanyikan penyokong kedua-dua parti itu ketika ini adalah lagu yang dipetik dari filem Keluarga 69 lakonan seniman P. Ramlee.

Bagaimanapun, beliau mengucapkan tahniah kepada BN dan PH atas ‘perkahwinan’ yang membawa kepada pembentukan kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu, Shahidan menggambarkan bahawa kerajaan campuran yang dibentuk ketika ini tidak mampu bertahan lebih lama.

Ini kerana pembentukan Kabinet yang terdiri dari kalangan individu yang kalah di dalam PRU-5 sekali gus menafikan hak ahli Parlimen yang lebih hebat dan berkelayakan.

“Sebab itu mereka terpaksa melantik orang kalah untuk jadi menteri pada hal orang kalah ni orang yang sudah tidak dapat kepercayaan rakyat, tidak wajar memimpin lagi… dia jadi pengikut sudahlah ataupun jadi Senator biasa.

“Ini (mereka) lantik jadi menteri contohnya Menteri Dalam Negeri, kalah pilihan raya… selepas itu jadi Menteri Dalam Negeri, sudah pasti dia tidak bagus dari segi sebuah kerajaan yang hebat.

“Sepatutnya, lantik (Menteri) dari kalangan ahli Parlimen… ahli Parlimen ini banyak orang-orang yang hebat tetapi tidak dilantik,” katanya lagi.

Shahidan turut memaklumkan bahawa pembahagian jawatan Menteri juga dibuat secara tidak adil dalam kalangan parti-parti kerajaan.

Sebagai contoh, katanya UMNO yang hanya menang di 26 kerusi Parlimen mendapat jawatan Menteri yang lebih banyak berbanding DAP yang menang di 40 kerusi Parlimen.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top