Umum

Manifesto MIC mahu bebaskan Najib Razak dari penjara

Perhimpunan agung MIC ke-76 hari ini membawa resolusi untuk membebaskan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dipenjara.

Naib Presiden MIC Datuk T. Mohan dalam tulisan di Facebooknya berkata Presiden parti Tan Sri Vigneswaran berjanji akan berkerjasama dengan semua komponen dari akar umbi yang kukuh untuk menguasai Pusat Pentadbiran Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Kami akan membawa satu resolusi untuk membebaskan Najib, yang telah berjasa kepada negara dan masyarakat India.

“Barisan Nasional (BN) telah menjadi harapan utama yang akan memperjuangkan nasib rakyat dan justeru itu Presiden telah memberi kepercayaan kepada semua jentera untuk bekerja keras dan melakukan langkah bijak bagi menghadapi PRU15 juga memenangi semua kerusi MIC,”

Perhimpunan agung itu turut menyaksikan parti itu mengucapkan terima kasih kepada presiden BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjanjikan beberapa inisiatif yang membawa pembangunan kepada masyarakat India.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen yang berlangsung berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Semasa Ismail Sabri mengumumkan perkara ini, ahli MIC di perhimpunan agung melaungkan ‘Hidup BN’.

Pemimpin UMNO dan Barisan Nasional telah mendesak PRU15 diadakan pasa tahun ini selepas Najib dipenjarakan pada Ogos.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan keatas Najib kerana menyalahgunakan dana RM42 juta milik SRC International.

Beliau telah didenda sebanyak RM210 juta serta hukuman penjara 12 tahun.

Ahli parlimen Pekan itu tewas dalam percubaan terakhirnya untuk membatalkan hukuman penjara dan denda kerana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa bekas perdana menteri itu gagal menunjukkan bagaimana keputusan mahkamah rendah adalah songsang dan memerlukan campur tangan mahkamah tertinggi.

PALING POPULAR

To Top