Umum

Mohd Nazree cabar BN Negeri Sembilan beri sokongan nyata pada PH

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus mencabar Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu untuk menyatakan pendirian sama ada menyokong atau tidak kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

Menurutnya, ia bagi membuktikan usaha mereka membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sekali gus sebagai tanda sokongan kepada kerajaan di peringkat pusat.

Tambahan beliau, meskipun ia sesuatu yang sukar buat BN namun beliau yakin masih ada suara di peringkat akar umbi parti yang masih tidak bersetuju dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Kita cabar BN khususnya di kawasan Rembau buat keputusan segera, nyatakan pendirian memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Tapi saya jangkakan yang mereka tiada keberanian mahu bergabung dengan PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan kerana bimbang akan hilang pengundi terutama di kawasan Melayu,” katanya ketika ditemu bual oleh wartawan Sinar Harian.

Jelasnya, jika BN memilih untuk tidak bekerjasama dengan PH, ia turut memberi gambaran negatif pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat itu sekadar untuk kepentingan politik tertentu.

“Kita tahu kenapa Kerajaan Perpaduan itu dibentuk, tapi hakikatnya ramai dalam kalangan ahli UMNO yang tak bersetuju kerana ia akan merosakkan masa depan parti mereka,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, rundingan kerjasama PH dan BN di negeri ini bagi menghadapi PRN kelak, sedang berjalan.

“Keputusan mengenainya insya-ALLAH akan diketahui hujung bulan ini, saya berdoa ada keputusan yang baik bagi menstabilkan suhu politik negara,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top