Umum

Muhyiddin serah kepada peguam berhubung saman Anwar

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk mengendalikan saman fitnah yang difailkan semalam oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu kenyataan ringkas hari ini (21 Disember 2022), Pengerusi Perikatan Nasional itu mengesahkan bahawa beliau telah menerima kertas berkaitan tuntutan mahkamah daripada peguam Anwar.

“Memandangkan Datuk Seri Anwar (Ibrahim) telah memilih untuk membawa perkara ini ke mahkamah, oleh itu saya menyerahkan kepada peguam saya untuk mengendalikan kes ini mengikut undang-undang,” tulis Muhyiddin dalam kenyataan yang dimuatkan di laman Facebooknya.

Semalam, Anwar memfailkan saman fitnah terhadap Muhyiddin berhubung kenyataan pada 5 Disember ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, meminta mahkamah memberikan pampasan kepadanya dan perintah menghalang Muhyiddin daripada berkata, menulis, menerbitkan atau mengedar perkataan fitnah yang sama atau serupa.

Dalam saman fitnahnya, Anwar mendakwa Muhyiddin telah membuat dakwaan palsu bahawa beliau menerima RM15 juta setahun sebelum ini sebagai penasihat ekonomi kerajaan Selangor.

Anwar juga menegaskan bahawa Hansard Dewan Undangan Negeri Selangor telah merekodkan jawapan rasmi Menteri Besar Selangor ketika itu Tan Sri Khalid Ibrahim pada 27 Mac 2012, yang menyatakan gaji Anwar sebagai penasihat ekonomi negeri Selangor adalah simbolik RM1 sahaja.

Anwar berkata petikan ucapan Muhyiddin 5 Disember di “Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai” diterbitkan dalam video oleh akaun TikTok @beritakini8 yang telah mendapat 1.1 juta tontonan menjelang 7 Disember.

Anwar berkata ucapan Muhyiddin juga disiarkan secara keseluruhannya dalam video yang disiarkan pada 8 Disember di akaun Facebook Muhyiddin yang telah mendapat lebih 42,000 tontonan setakat semalam.

Peguam Anwar pada 7 Disember mengeluarkan surat tuntutan kepada Muhyiddin untuk meminta Presiden Bersatu itu membayar pampasan, menarik balik dan memohon maaf atas komen kempennya, dan berjanji untuk tidak mengulangi perkataan yang sama. Peguam berkata kegagalan untuk mematuhi tuntutan akan mengakibatkan tindakan undang-undang.

Anwar menyatakan bahawa Muhyiddin melalui peguamnya telah menjawab dalam surat 9 Disember untuk menafikan bahawa kenyataan itu berunsur fitnah terhadap Anwar.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top