Business

myNEWS Guna AI Dalam Operasi Harian, Lark Jadi ‘Tulang Belakang’ Digital Syarikat

myNEWS Guna AI Dalam Operasi Harian, Lark Jadi ‘Tulang Belakang’ Digital Syarikat

KUALA LUMPUR – myNEWS Holdings Berhad kini melangkah lebih jauh dalam transformasi digital apabila mengumumkan penggunaan platform Lark sebagai sistem utama operasi dan produktiviti syarikat merentasi semua jenama di bawah kumpulan itu.

Pelaksanaan tersebut melibatkan lima jenama utama iaitu myNEWS, CU, SUPERVALUE, WHSmith dan Maru Coffee.

Apa yang menarik, sistem berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu kini digunakan secara terus dalam operasi harian termasuk pengurusan kewangan, operasi lapangan dan pengurusan kedai.

Kerja yang dulu manual kini automatik

Menurut syarikat, beberapa proses yang sebelum ini dibuat secara manual kini boleh diselesaikan secara automatik menggunakan AI.

Antaranya termasuk proses semakan tunai lapangan yang kini hanya memerlukan dua gambar untuk dianalisis sistem komputer sebelum data dipadankan secara automatik.

Malah, invois pembekal yang dihantar melalui emel juga boleh dibaca AI, disemak dengan rekod pembelian dan terus dimasukkan ke dalam sistem kewangan.

Langkah itu membantu mempercepatkan kerja selain mengurangkan risiko kesilapan manusia.

20% staf ibu pejabat sudah guna AI setiap hari

myNEWS memaklumkan kira-kira 20 peratus kakitangan ibu pejabat kini menggunakan AnyGen, iaitu AI terbina dalam Lark, setiap hari.

AI tersebut digunakan untuk tugasan seperti penulisan, penyelidikan dan penjanaan kandungan yang sebelum ini mengambil masa berjam-jam untuk disiapkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan myNEWS Holdings Berhad, Dang Tai Wen berkata, Lark bukan sekadar platform komunikasi biasa.

“Lark ialah asas yang membolehkan kami melaksanakan AI secara menyeluruh dalam organisasi. AnyGen memberi akses kepada kemampuan yang sebelum ini memerlukan peranan pakar tertentu,” katanya.

Fasa seterusnya libatkan operasi kedai

Selepas penggunaan di peringkat ibu pejabat, myNEWS kini merancang memperluaskan penggunaan Lark ke peringkat outlet dan francais.

Ia termasuk pengurusan tugasan harian kedai, laporan pematuhan, penyerahan syif serta komunikasi terus dengan ibu pejabat.

Selain itu, bahan latihan, SOP dan panduan operasi juga akan dipusatkan dalam sistem Wiki yang boleh dicari dengan mudah oleh kakitangan dan rakan francais.

Perkembangan itu menunjukkan bagaimana syarikat tempatan kini semakin agresif menggunakan AI bukan sahaja untuk teknologi, tetapi juga bagi meningkatkan kecekapan operasi harian.

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top