Umum

Pinda laporan audit 1MDB: Najib, Arul Kanda dibebaskan

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Arul Kanda Kandasamy dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat atas pertuduhan meminda laporan audit syarikat strategik negara, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang kini Hakim Rayuan di Putrajaya, memutuskan perkara itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Ini bermakna kedua-dua tertuduh, dibebaskan daripada pertuduhan itu dan tidak akan dipanggil untuk membela diri.

Bekas Ahli Parlimen Pekan dan Arul Kanda yang hadir di mahkamah dengan memakai kot hitam kelihatan ceria selepas mendengar keputusan tersebut.

Najib kemudiannya keluar daripada kandang tertuduh dan memeluk anak perempuan dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib, 70, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram namun bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berusia 79 tahun ini, meninggal dunia pada 29 Januari lalu.

Ia diteruskan oleh pasukan pendakwaan sedia ada antaranya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustapa P Kunyalam.

Pihak pembelaan pula oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi pihak Najib sementara Datuk N Sivananthan untuk Arul Kanda.

Najib masih berdepan tiga lagi kes mahkamah termasuk penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 44 saksi.

Dua lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International sebanyak RM27 juta, yang masing-masing masih di peringkat pengurusan kes.

Najib sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang selepas gagal dalam rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitan, hukuman dan denda berhubung kes menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top