Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memasuki hari kedua semalam dengan calon-calon yang bertanding sebaik mungkin cuba untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Baik Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan calon-calon Bebas, kesemua yang bertanding dilihat lebih mesra menggunakan media sosial Facebook, WhatsApp, twitter dan Youtube, untuk hebahan mengenai calon.
Selain itu kenderaan siar raya untuk hebahan dan berkempen kepada pengundi juga telah mula rancak digerakkan, terutama di kawasan kampung dan taman-taman perumahan.
Laman Facebook PN umpamanya menggunakan platform berkenaan untuk menghebahkan kesemua 28 calon yang mewakili mereka pada PRN kali ini, dengan setiap calon membuat ucapan kira-kira 30 saat untuk memperkenalkan diri dan kawasan yang ditandingi mereka.
Selain itu, poster juga dikeluarkan dalam bentuk digital dan disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial yang lain, dengan sedikit penerangan ringkas mengenai calon bagi memudahkan pengundi mengenali individu yang bertanding, di setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari menampilkan kelainan dalam berkempen, dengan menunggang skuter elektrik sambil mengedarkan risalah kempen dari rumah ke rumah, di sebuah taman perumahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, kawasan yang ditandinginya pada PRN ini.
Berusia 50 tahun, beliau turut memuat naik grafik kreatif dan karikatur yang dihasilkan dan dihantar oleh anak-anak muda, sebagai salah satu strategi mendampingi kumpulan tersebut, yang berjumlah 10,545 orang daripada keseluruhan 25,945 pengundi, di kawasan yang dimenanginya sejak penggal lalu.
Pendekatan sama turut digunakan Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, yang bercerita mengenai zaman kanak-kanaknya ketika membesar di Ujong Pasir di sini, dalam usaha menampilkan dirinya sebagai calon anak tempatan bagi DUN Telok Mas.
“Kampung saya di Ujong Pasir. Saya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Ujong Pasir selama enam tahun (Darjah Satu hingga Enam), menetap dan membesar di Taman Jaya Padang Temu.
“Ayah dan ibu saya pernah berniaga kedai runcit di Ujong Pasir selama tujuh tahun dan berniaga sebagai pembekal gas memasak Petronas selama 10 tahun, di Taman Jaya Padang Temu. Saya adalah anak tempatan N23 Telok Mas,” katanya.
Bagi Putra pula, parti tersebut memuat naik sebuah video di YouTube membabitkan Pengerusi Badan Perhubungan Putra Melaka Mohd Aluwi Sari, yang bertanding di DUN Pengkalan Batu sebelum video berkenaan dipautkan di Facebook.
BN dan DAP pula masing-masing menggunakan trak dan lori siar raya yang mempunyai skrin digital dan pembesar suara untuk membuat hebahan kempen secara bergerak, di kawasan bandar dan pedalaman.
SOP PRN Melaka pada kali ini menggariskan beberapa larangan, antaranya penganjuran ceramah, syarahan, kempen secara fizikal, ziarah rumah ke rumah dan ‘walkabout’ adalah tidak dibenarkan.
Tetapi ada sesetengah daripadanya mengambil strategi bersarapan dan minum petang di lokasi tumpuan ramai, turut dihidu media bagi memburu liputan terbaik yang bersesuaian dengan kehendak pembaca masing-masing.
Ketiadaan jadual program calon menyebabkan kumpulan WhatsApp yang diwujudkan parti-parti politik ‘diserang’ dengan pelbagai pertanyaan petugas media, dan bagi 15 calon Bebas yang ‘bersatu’ di bawah Gagasan Bebas, gerak kerja kempen mereka masih belum diketahui.
Tidak seperti kelaziman, kemeriahan perang poster dan bendera hanya mula dirasai pada hari kedua kempen, di kebanyakkan tempat di negeri ini.
Hari ini, tumpuan PRN akan terarah kepada pelancaran manifesto Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), manakala manifesto Perikatan Nasional (PN), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan 22 calon Bebas, masih belum diketahui tarikh pelancarannya.
— BERNAMA