Rakyat menolak penipuan yang dibuat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah mesej yang disampaikan pengundi Parlimen Padang Serai, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menyifatkan kekalahan memalukan calon PH di Padang Serai adalah bukti bahawa rakyat tidak yakin dengan kerajaan campuran dibentuk mentadbir negara, malah hampir setiap hari hanya tahu menyaman lawannya dan bukan mencari jalan menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.
“Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN. Mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara.
“Kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU ke-15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhyiddin berkata majoriti undi yang diperoleh di kawasan parlimen tersebut menunjukkan petanda positif buat parti terbabit yang mendapat “sokongan padu”.
Kerusi Padang Serai yang dianggap kubu kuat PH selama tiga penggal itu berjaya ditawan Perikatan Nasional (PN) dengan kemenangan bergaya majoriti sekali ganda berbanding sebelum ini.
Terdahulu, Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas diumumkan memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi, sekali gus merampas kerusi itu daripada PH.
Beliau memperoleh 51,637 undi, jauh meninggalkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang mendapat 35,377 undi, serta calon BN, Datuk C Sivaraajh (2,983 undi).
Muhyiddin juga berkata penipuan dilakukan PH-BN adalah terbesar dalam sejarah politik negara dan keputusan di Padang Serai adalah mesej jelas rakyat tidak merestui perkahwinan politik kedua-dua gabungan tersebut.
“Dan hari ini pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti tersebut,” katanya lagi.
Sumber: Agenda Daily