Umum

Tiga peguam tarik diri, prosiding bela diri Siti Bainun ditangguh lagi

Prosiding bela diri pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin ditangguhkan ke esok selepas tiga peguam yang mewakilinya menarik diri.

Dua peguam, Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif memfailkan permohonan menarik diri secara bertulis kepada mahkamah pada Jumaat lepas.

Manakala, Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor membuat permohonan secara terbuka di mahkamah pada Isnin ketika prosiding bermula pada pagi tadi.

Prosiding pada Isnin tergendala kira-kira dua jam apabila pihak peguam mewakili Siti Bainun mengemukakan permohonan menarik diri berikutan tidak mempunyai kelapangan pada tarikh ditetapkan sebelum ini.

Hakim, Izralizam Sanusi kemudian mengarahkan mereka untuk berbincang sebelum tiga peguam itu menyatakan keputusan untuk menarik diri dari kes berkenaan.

Izralizam berkata, mahkamah akur dengan permohonan itu dan menegaskan ia menjejaskan kelancaran perbicaraan kes tersebut yang sudah pun tertangguh beberapa kali sebelum ini.

Katanya lagi, perkara sebegitu tidak wajar berlaku kerana tarikh perbicaraan sudah ditetapkan dan dipersetujui lebih awal malah peguam mempunyai masa mencukupi untuk membuat permohonan sekiranya ada sebarang masalah.

Menurut Izralizam, beliau juga akan mendapatkan pendirian dan penjelasan dua lagi peguam mewakili Siti Bainun, Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil selepas keputusan tiga peguam tersebut.

Sementara itu, Siti Bainun memaklumkan dia hanya mengetahui peguam belanya menarik diri pada pagi Isnin dan menyatakan akan cuba mendapatkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) atau mencari peguam lain.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Aka Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Astro Awani

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top