Seorang lelaki pemilik sebuah syarikat dan seorang pekerja kedai emas direman Polis bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan identiti kerabat diraja Kelantan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, kedua-dua individu itu masing-masing berusia 42 dan 46 tahun direman selama tiga hari bermula hari Sabtu.
Menurut laporan media, Rosdi menyatakan polis telah menerima laporan mengenai penyalahgunaan identiti kerabat diraja Kelantan bagi iklan pelaburan emas.
Menurutnya, suspek disyaki menggunakan gambar kerabat diraja untuk mempengaruhi pelanggan dalam urusan perniagaan emas mereka.
Bagaimanapun Rosdi berkata, pihak istana mengesahkan tidak terlibat dalam sebarang urusan dengan individu tersebut.
“Bertindak atas laporan itu, dua individu ditahan pada jam 4 petang Jumaat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan/511 Kanun Keseksaan,” katanya.