Umum

‘Kedai online’ dedah barangan mewah dimiliki ahli politik

MENJELANG pilihan raya umum pada Sabtu ini, sekumpulan rakyat prihatin tidak dikenali mendedahkan pembelian boros oleh ahli politik di platform dalam talian bernama voteordie.shop.

Menurut “kedai dalam talian” itu, ia ingin memperlihatkan kekayaan melimpah-ruah yang dikumpul oleh elit politik Malaysia melalui pelbagai cara selama bertahun-tahun mereka berkhidmat.

Laman web itu berkata walaupun purata gaji rakyat Malaysia ialah RM3,037, gaji minimum pada 2022 adalah separuh daripada itu.

Pencipta laman web itu juga mempersoalkan sama ada rakyat Malaysia diwakili dengan betul oleh ahli politik yang mempamerkan barang kemas dan pakaian bernilai lebih daripada kebanyakan rakyat Malaysia akan lihat sepanjang hidup mereka.

Antara barangan yang dipaparkan di laman web itu sebagai “untuk dijual” ialah jam tangan Richard Mille RM033 Extra Thin seperti yang didakwa dipakai oleh Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi, bernilai RM423,150.

Laman web itu turut menampilkan jam tangan Aquaracer CAF101A berharga RM6,806, model sama yang kononnya dipakai Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim.

Ia menyenaraikan jam tangan Patek Philippe Nautilus bernilai RM414,584, yang dikatakan dipakai oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Barangan paling mahal yang disenaraikan di laman web itu ialah jam tangan Felipe Massa Rose Gold bernilai RM1 juta seperti yang didakwa dipakai oleh penyandang Ketereh Annuar Musa.

Turut disenaraikan ialah barangan mewah yang kononnya dipakai Najib Razak dan ahli keluarganya, baju dan kasut perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob, serta selipar mahal Annuar, berharga RM4,650.

Rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada Sabtu ini. – 19 November, 2022. 

Sumber: The Malaysian Insight

PALING POPULAR

Copyright © 2021

To Top