Sejak merobohkan tembok Muafakat Nasional (MN) dan memilih untuk ‘bersyarikat’ dengan DAP menerusi Pakatan Harapan (PH), nafas UMNO di Selangor semakin sesak, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka Julai atau Ogos depan.
Beberapa laporan awal untuk menyedapkan hati penyokong dan akar umbi UMNO, ditangkis pula sekutu baharu mereka di dalam PH, terutama PKR yang setakat ini selesa memerintah Selangor.
Laporan media yang memetik sumber mengatakan PH, termasuk DAP, sedia mengorbankan kerusi mereka seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek dan Kota Kemuning, untuk ditandingi UMNO, hanya sekadar halwa telinga.
Sebaliknya, Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman pula dilapor menafikan gabungan PKR, DAP dan Amanah, akan mengorbankan kerusi selamat mereka untuk ditandingi UMNO.
Mengulas perkara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir berkata jika benar penafian Mohd Khairuddin yang juga ADUN Paya Jaras, maka makin tersepitlah UMNO dan gelaplah masa depan mereka di Selangor.
“Saya secara peribadi memang tidak yakin PKR mahu pun DAP akan korbankan mana-mana kerusi disandang mereka untuk mudah-mudah ditandingi UMNO.
“PH Selangor tidak perlu pada UMNO pun untuk memerintah. Mereka memerintah selesa… apa perlu pada UMNO yang terpalit pelbagai skandal.
“Sejak merobohkan Muafakat Nasional dan memilih “bersyarikat” dengan PH yang di dalamnya ada DAP, hidup Umno makin kacau khasnya di Selangor.
“Pilihan Raya Umum Ke-15 baru-baru ini bukti pengundi Melayu termasuk di Selangor dambakan penyatuan dan kesatuan kuasa politik umat Melayu Islam,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Roslan berkata pengundi, khusus orang Melayu Islam kini tidak mahu lagi berpecah, sebaliknya memerlukan politik yang menyatukan ummah.
“Mereka mahukan politik penyatuan ummah kerana itu hampir 56 peratus pengundi Melayu memberi undi kepada calon-calon PAS dan Bersatu yang bernaung bawah Perikatan Nasional (PN).
“Calon PN Kuala Langat umpamanya menang dengan sokongan padu lebih 72 peratus undi Melayu,” katanya.
Menurutnya, UMNO telah tersilap langkah angkara dibawa mengejar agenda presidennya yang diselaputi masalah peribadi dan bakal membayarnya dengan harga mahal dalam PRN nanti.
“PH pun tak perlu UMNO di Selangor, rupanya hidung tak mancung maka tersorong-soronglah pipi ke sana ke mari,” katanya.
Sumber: Agenda Daily