Umum

Bursa Malaysia dibuka rendah, sentimen berhati-hati

Dagangan Bursa Malaysia menyusut sedikit selepas meningkat Jumaat lepas dan dibuka rendah pada pagi urus niaga Isnin, mengambil petunjuk daripada presasi lemah semalaman Wall Street.

Peniaga berkata pelabur mengambil sikap berhati-hati menjelang keputusan kadar China dan testimoni yang bakal dibentangkan oleh pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat Jerome Powell sambil menantikan hala tuju pasaran seterusnya.

Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 7.67 mata kepada 1,380.94 daripada 1,388.61 pada penutup Jumaat lalu.

Indeks utama dibuka 4.72 mata lebih rendah pada 1,383.89.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 171 berbalas 133, manakala 242 kaunter tidak berubah, 1,747 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 130.70 juta unit bernilai RM68.30 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya, FBM KLCI meningkat pada Jumaat lepas di tengah-tengah aktiviti pengimbangan semula FTSE selepas keyakinan meningkat dalam pasaran tempatan dan serantau berikutan penangguhan dalam kenaikan kadar AS pada hari Jumaat.

Firma pembrokeran itu berkata aktiviti memburu saham murah dijangka muncul hari ini, walaupun peningkatan mungkin dihadkan dengan pelabur memberi perhatian kepada bacaan inflasi Malaysia minggu ini.

“Sementara itu, kami melihat kemerosotan di Wall Street sebagai sesuatu yang sihat berikutan kenaikannya baru-baru ini,” katanya kepada Bernama

Mengenai komoditi, ia menyatakan harga minyak mentah Brent meningkat melebihi US$76, manakala harga minyak sawit mentah melonjak melebihi RM3,600.

“Mengikut sektor, sektor tenaga dan perladangan mungkin mendapat perhatian apabila harga komoditi melonjak tinggi, manakala saham teknologi mungkin terus meningkat dipacu petunjuk positif mengenai teknologi kecerdasan buatan.

“Sektor penerbangan dan berkaitan perjalanan juga mungkin menjadi tumpuan berikutan aktiviti ekonomi telah kembali normal,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah satu sen kepada RM3.88, Tenaga Nasional susut sembilan sen menjadi RM9.11 dan IHH Healthcare lebih rendah tujuh sen kepada RM5.89, manakala Maybank dan CIMB masing-masing tidak berubah pada RM8.57 dan RM4.98.

Bagi saham aktif, Boustead Plantation menambah 5.5 sen kepada 94.5 sen dan Meta Bright naik setengah sen kepada 17 sen manakala Destini dan Top Glove masing-masing turun satu sen kepada 10.5 sen dan 96.5 sen, KNM rendah setengah sen kepada lapan sen dan Sarawak Consolidated kekal pada 40.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 47.25 mata pada 10,200.37, Indeks FBMT 100 susut 47.27 mata menjadi 9,897.09 dan Indeks FBM Emas Syariah turun 72.76 mata kepada 10,539.02.

Indeks FBM 70 merosot 32.48 mata kepada 13,552.23 dan Indeks FBM ACE berkurangan 8.69 mata kepada 5,117.07.

Mengikuit sektor, Indeks Tenaga susut 8.51 mata kepada 785.38 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lemah 1.88 mata menjadi 158.91, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 7.78 mata kepada 15,181.10 dan Indeks Perladangan meningkat 20.12 mata kepada 6,668.66.

— BERNAMA

PALING POPULAR

To Top