Umum

Peruntukan Jabatan Perdana Menteri naik jadi RM14 bilion lebih

Peruntukan bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam Bajet 2023 naik menjadi lebih RM14 bilion berbanding tahun sebelum ini.

Dalam pembentangan belanjawan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, dianggarkan peruntukan bagi JPM pada 2023 adalah sejumlah RM14,868,378,500 meningkat berbanding peruntukan pada tahun 2022 hanya sebanyak RM12,206,127,100.

Jumlah peruntukan pada 2023 ini juga tertinggi jika dibandingkan pada tahun 2021 hanya 10,000,252,089 dan pada tahun 2020 hanya sebanyak RM8,788,441,802.

Bagi Bajet 2023 yang diperuntukan bagi JPM, sejumlah RM4,605,000,000 dianggarkan bagi belanja mengurus.

Sementara sejumlah RM10,263,378,500 dianggarkan bagi belanja pembangunan.

Semasa pembentangan hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan sejumlah RM372.3 bilion akan diperuntukkan bagi Bajet 2023 berbanding peruntukan RM332.1 bilion tahun lepas dalam bajet sebelumnya.

Bajet kali ini dengan tema “Keluarga Malaysia, Makmur Bersama”.

Ujar Zafrul, kerajaan akan terus melaksanakan dasar fiskal yang mengembang yang mana pendekatan ini penting bagi menyediakan bantuan sewajarnya kepada rakyat dan menyokong perniagaan.

Dalam Bajet 2023, sebanyak RM94.3 bilion telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan, yang tertinggi setakat ini, berbanding peruntukan untuk 2022 sebanyak RM71.2 bilion.

Di bawah perbelanjaan ini, peruntukan yang disalurkan kepada pertumbuhan ekonomi meningkat dua peratus, mengambil hampir satu perlapan daripada jumlah perbelanjaan pembangunan.

Unjuran untuk perbelanjaan mengurus 2023, sebaliknya, dijangka berkurangan kepada RM272.3 bilion daripada RM284.7 bilion tahun ini, kurang sebanyak kira-kira RM12 bilion.

Namun, kerajaan Ismail Sabri telah menggandakan perbelanjaan untuk bantuan sosial dan subsidi daripada hanya 5.2 peratus ketika Bajet 2022 kepada 11.3 peratus di bawah perbelanjaan mengurus tahun depan.

Langkah itu telah dijangkakan oleh pakar ekonomi memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah semakin hampir.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top