Umum

Setelah dikritik PM ubah kenyataan, “tak salah menteri PN”

Tak salah, salah, tak salah

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini (13 Oktober 2022) mengubah kenyataannya sekali lagi sebelum ini yang menyalahkan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) sebagai punca pembubaran Parlimen.

Dalam kenyataan medianya pada Selasa, 11 Oktober lalu, Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri itu menyalahkan menteri-menteri PN kerana mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan pendirian tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini.

Dalam perenggan kedua hingga empat kenyataan mengulas kekecewaan Yang di-Pertuan Agong terhadap perkembangan politik semasa tanah air, Ismail Sabri berkata:

“Seperti yang saya jelaskan dalam Perutusan Khas semalam, pembubaran Parlimen Ke-14 ini adalah untuk menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, Kerajaan pintu belakang dan Kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.

“Keputusan ini juga adalah rentetan terhadap perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 Menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Justeru, pembubaran ini bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran Kerajaan.

“Tindakan Menteri-menteri ini jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran Kerajaan.

“Bahkan sejak akhir-akhir ini, ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar Kerajaan.”

Terdahulu, pada 6 Oktober, Menteri Alam Sekitar dan Air daripada PAS – parti komponen PN – Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan menteri daripada gabungan itu menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong pada 5 Oktober, menolak PRU-15 diadakan tahun ini.

Susulan penyerahan surat itu, pada 6 dan 7 Oktober, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan keabsahan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Kemudian, pada Ahad (9 Oktober) Ismail Sabri dipetik BH ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan itu dilaporkan berkata keabsahan kerajaan pimpinannya masih kukuh dan tidak tergugat serta tidak menandakan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya.

Ismail Sabri juga dilaporkan berkata tindakan berkenaan tidak menjejaskan keutuhan kerajaan kerana sokongan kepada seseorang PM adalah tertakluk kepada majoriti sokongan Ahli Dewan Rakyat dan bukan anggota Kabinet.

Susulan kenyataan Istana Negara pada 10 Oktober yang mengatakan Yang di-Pertuan Agong kecewa dengan situasi politik negara sekarang, Ismail Sabri pada 11 Oktober (seperti kenyataannya di atas) menyalahkan pula tindakan 12 menteri PN menghantar surat berkenaan.

Maka, laporan media arus perdana negara pun bergegarlah dengan tajuk yang ‘menyalahkan menteri-menteri PN’. Maka, PN pun dilihat ‘teruk’ kerana menyebabkan kerajaan tidak stabil.

Berikutan kenyataan itu, Ismail Sabri dikritik hebat pemimpin politik dan menteri PN sambil menjelaskan rakyat tahu sebab sebenar Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU-15 tahun. Antaranya ialah:

  • Tekanan daripada UMNO, khususnya presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi;
  • Ismail Sabri mengikut kehendak partinya; dan
  • Mengharapkan pemilih sukar keluar mengundi akibat hujan atau banjir, sekali gus peratusan rendah yang memberi peluang UMNO/BN menang.

Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Malaysia bakal mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan, yang sekali gus akan menyebabkan banjir besar pada penghujung bulan itu.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif dalam tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Bagaimanapun, hari ini Ismail Sabri mengubah lagi kenyataannya dengan tidak menyalahkan 12 menteri PN yang mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pendirian itu, lapor BH.

Akhbar itu memetik Perdana Menteri sebagai berkata, walaupun perbuatan itu disifatkan sebagai tidak wajar, menteri terbabit hanya mengikut arahan parti masing-masing.

Ismail Sabri memetik kenyataan Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, semalam yang mengatakan tindakan menghantar surat itu adalah juga hasil keputusan parti.

Kenyataan itu juga menunjukkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri – yang memiliki hak prerogatif memohon membubarkan Parlimen – yang juga Naib Presiden UMNO telah mengikut kehendak partinya supaya PRU-15 diadakan tahun ini juga (sebagaimana keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi pada 3o September 2022).

Dalam kenyataan hari ini dipetik daripada BH, Ismail Sabri berkata lagi:

“Ini bermakna, dia bergantung pada keputusan parti, ada pengaruh daripada Presiden parti, dan menteri Kabinet daripada Bersatu tidak boleh dipisahkan dengan pengaruh terbabit.

“Maknanya, dia menerima arahan daripada Presiden parti. Parti arahkan tulis surat. Walaupun tidak wajar, mereka tulis surat kerana arahan daripada parti. Ini diakui oleh Hamzah, dan tidak salahkan mereka mengikut arahan parti, sebab itu adalah arahan parti.”

Perenggan ini merujuk kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini pun, dalam kenyataan media pada 11 Oktober (perenggan enam), Ismail Sabri menyalahkan Muhyiddin – Pengerusi PN – kerana mengisytiharkan musuh utama PN adalah BN sedangkan parti itu turut menganggotai kerajaan.

Sedangkan, ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, UMNO dan Zahid lebih banyak mengkritik kerajaan PN, sedangkan UMNO dan BN juga ketika itu menganggotai kerajaan – termasuklah Ismail Sabri sebagai menteri dan kemudian Timbalan Perdana Menteri.

Sehingga kemuncaknya 15 Ahli Parlimen UMNO diketuai Zahid sendiri menarik sokongan sehingga Muhyiddin terpaksa meletak jawatan, dan Ismail Sabri dicadangkan sebagai Perdana Menteri dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen PN.

Tetapi, sebagaimana dinyatakan Ketua Penerangan Bersatu yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, punca pembubaran Parlimen bukan rahsia lagi iaitu disebabkan desakan bertalu-talu UMNO yang mahukan PRU-15 diadakan segera.

“Punca sebenar ketidakstabilan dan ketidakharmonian dalam kerajaan hari ini adalah akibat percakaran kuasa antara kleptokrat dengan kluster Ismail Sabri,” kata Azmin.

Benar seperti dikatakan Ismail Sabri: “Kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia. Negara memerlukan sebuah Kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang.”

Apakah benar sebagaimana dikatakan bekas Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, https://www.agendadaily.com/politik/ismail-sabri-hanya-boneka-zahid-tetap-jadi-pemandu-khalid-samad/ bahawa Ismail Sabri hanyalah boneka, sedangkan Zahid adalah ‘pemandu’ sebenar.

“Ini adalah kerana kuasa sebenar tetap berada di tangan Zahid selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN). Maka keputusan tarikh PRU-15 diputuskan mengikut kepentingan parti dan peribadi Zahid.

“Maka episod ini mendedahkan kedudukan sebenar Ismail Sabri, iaitu seorang Perdana Menteri patung atau boneka yang bergerak dan bersuara di atas perintah dan keputusan yang dibuat oleh UMNO pimpinan Zahid.

“Oleh itu, apabila kempen pilihan raya berjalan nanti, walaupun muka Ismail Sabri mungkin ditayangkan (poster boy) sebagai calon Perdana Menteri, (tapi) bukan dia yang akan berkuasa kelak,” kata Khalid.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

PALING POPULAR

To Top