Umum

Pemain Melaka United tidak dapat gaji 3 bulan!

Ingatkan masalah tunggakan gaji sudah selesai, namun hakikatnya pemain Melaka United FC (MUFC) masih berdepan masalah itu yang berlanjutan selama tiga bulan.

Situasi terbabit disahkan Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) yang menjelaskan pihaknya menerima aduan pada 8 Ogos lalu daripada 17 pemain MUFC membabitkan pembayaran gaji bagi Jun dan Julai serta baki bayaran Januari lalu.

Menerusi kenyataan media di Facebook, PFAM memaklumkan sehingga semalam, jumlah tunggakan gaji mencecah tiga bulan kerana pemain turut tidak menerima pembayaran gaji bagi Ogos.

“Pihak PFAM mengambil tindakan untuk menghantar notis kepada MUFC bagi menjelaskan tunggakan berkenaan dan perkara ini telah dibawa ke peringkat FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).

“Sehingga hari ini, pihak PFAM masih menunggu suatu tarikh ditetapkan FAM bagi membincangkan perkara ini di NDRC (Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan).

“PFAM turut menggesa penetapan tarikh perbicaraan di NDRC dipercepatkan supaya proses pembelaan dapat dijalankan dengan segera,” katanya.

Mengikut rekod, kes tunggakan gaji bukanlah yang pertama dilaporkan PFAM apabila sebelum ini persatuan terbabit turut mendedahkan menerima laporan isu tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain pasukan Sarawak United.

Berikutan aduan terbabit, PFAM mengeluarkan notis kepada Sarawak United untuk tuntutan tunggakan pemain terbabit yang membuat aduan pada 16 Jun lalu.

Sementara itu, PFAM memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius masalah tunggakan gaji yang dihadapi pemain dan akan membantu untuk membela hak mereka.

“Pihak kelab dinasihatkan sentiasa menghormati obligasi yang sudah dipersetujui di dalam kontrak supaya dapat menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak,” katanya

Sumber: Harian Metro

PALING POPULAR

To Top