Umum

Petronas membina loji kitar semula kimia termaju yang terbesar di Asia

Petronas Chemicals Group Berhad (PCG), telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk membina loji kitar semula kimia termaju yang terbesar di Asia dengan kapasiti 33 kilo-tan setahun (ktpa).

Loji tersebut yang bakal dibangunkan di Pengerang, Johor, dijangka beroperasi pada separuh pertama 2026.

Pengumuman FID tersebut juga diikuti dengan pemeteraian Perjanjian Lesen Teknologi (TLA) antara anak syarikat PCG dan Plastic Energy Limited (Plastic Energy) serta penganugerahan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan (EPC) kepada Mutiara Etnik Sdn. Bhd.

Sebagai sebahagian daripada agenda Ekonomi Plastik Baharu PCG untuk menyokong peralihan ke arah ekonomi sirkular dan menyumbang kepada ekosistem plastik yang lestari, loji tersebut akan dapat meneroka keupayaan kitar semula kimia sisa plastik di Malaysia melalui penukaran plastik akhir hayat kepada minyak pirolisis atau TACOIL ™, yang boleh digunakan sebagai stok suapan kimia ke arah penghasilan plastik yang lestari.

“Melalui loji kitar semula kimia termaju ini, kami mempunyai visi untuk memacu inovasi merentasi rantaian nilai plastik di samping mewujudkan peluang untuk semua pihak, daripada pengumpul sisa kepada pengilang, untuk bersama-sama menyumbang kepada ekonomi plastik sirkular.

Ini membolehkan kami memarakan aspirasi negara dalam menyingkirkan plastik sekali guna secara berperingkat, selaras dengan Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, di samping memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada jenama-jenama besar untuk pembungkusan lestari,” kata Pengarah Urusan / Ketua Pegawai Eksekutif PCG Ir. Mohd Yusri Mohamed Yusof.

Plastic Energy akan menyediakan teknologi kitar semula kimia untuk loji tersebut melalui proses TAC™ yang terpaten, yang memanaskan campuran sisa plastik pascapengguna tanpa penggunaan oksigen.

Proses ini seterusnya menghasilkan wap hidrokarbon, yang melalui proses pemeluwapan menjadi minyak pirolisis atau TACOIL™ yang boleh digunakan sebagai pengganti stok suapan hidrokarbon dalam penghasilan plastik kitar semula gred makanan.

“Sejak kerjasama kami dengan PCG pada 2019, kami berbesar hati dipilih sebagai penyedia teknologi untuk loji kitar semula kimia baharu mereka di Malaysia.

Kami berkongsi matlamat yang sama untuk mengurangkan pencemaran plastik di Asia dengan meningkatkan jumlah sisa plastik yang boleh dikitar semula, dan mengembangkan infrastruktur kitar semula di rantau ini,” kata Carlos Monreal, Ketua Pegawai Eksekutif Plastic Energy.

“Kami teruja untuk menjadi rakan kongsi EPC di bawah projek PCG ini. Kami sentiasa komited untuk memastikan kecemerlangan dalam setiap projek yang kami jalankan, dan kami akan memastikan loji ini akan memenuhi jangkaan PCG,” kata Datuk Surendran Menon, Pengarah Urusan Mutiara Etnik.

Loji kitar semula kimia termaju tersebut akan memanfaatkan rantaian nilai plastik Malaysia selain daripada menutup lingkaran bagi kitaran hayat plastik dengan mewujudkan ekosistem yang menggalakkan peralihan kepada ekonomi sirkular.

PALING POPULAR

To Top