Umum

Rakyat Malaysia akan ketahui tarikh pilihan raya hari ini

Pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bakal dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini dan rakyat Malaysia akan mengetahui hari yang di tunggu-tunggu untuk menunaikan tanggungjawab demokrasi masing-masing.

Sama seperti menunggu anak bulan hari raya Aidilfitri, rakyat Malaysia pastinya ternanti-nanti tarikh sebenar PRU-15 selepas pelbagai teka-teki berhubung bilakah hari mengundi yang ditunggu-tunggu akan tiba.

Tarikh penting itu akan diumumkan SPR selepas suruhanjaya berkenaan selesai mengadakan mesyuarat khas di Putrajaya.

Mesyuarat itu dijangka bermula jam 10 pagi dan dipengerusikan, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, sebelum sidang media dijadual diadakan pada jam 12 tengah hari.

Selain hari penamaan calon dan pengundian, mesyuarat khas itu turut akan membincangkan mengenai tarikh writ pilihan raya, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain, bagi berhadapan dengan PRU-15.

Mesyuarat itu juga akan menetapkan tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

PRU-15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Rakyat dibubarkan, 10 Oktober lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran itu melalui perutusan khas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ini selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia mempunyai sejumlah 222 kerusi Parlimen yang akan dipertanding pada PRU-15 ini.

Kali ini, enam negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, sekali gus menyebabkan akan berlakunya pilihan raya negeri (PRN) berasingan tahun depan.

Enam negeri itu ialah tiga di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Tindakan sama turut diambil PAS di tiga negeri dikuasainya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Hanya Perak, Perlis dan Pahang membuat keputusan membubarkan DUN masing-masing manakala DUN Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak pula tidak dibubarkan kerana baharu melalui PRN dan belum mencapai tempoh matang.

Sumber: Agenda Daily

PALING POPULAR

To Top