Umum

Sembilan pertuduhan AMLA, rasuah ke atas Abdul Azeez kekal

Mahkamah Rayuan di sini pada Isnin menolak rayuan bekas Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk membatalkan tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).

Bagaimanapun, mahkamah menerima rayuan Ahli Parlimen Baling itu untuk membatalkan empat pertuduhan AMLA.

Ini bermakna Abdul Azeez yang sebelum ini didakwa atas 13 pertuduhan, hanya akan meneruskan perbicaraan bagi sembilan pertuduhan.

Ini bermakna Abdul Azeez yang sebelum ini didakwa atas 13 pertuduhan, hanya akan meneruskan perbicaraan bagi sembilan pertuduhan.

Keputusan sebulat suara itu disampaikan tiga panel hakim yang dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said.

Turut bersidang dalam prosiding terbabit ialah Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Mahkamah berpendapat, pertuduhan yang dikenakan terhadap Abdul Azeez selaku perayu tidak bertindih antara satu sama lain atau mengelirukannya.

Ketika memutuskan rayuan kes itu, Abu Bakar berkata, sembilan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya tidak cacat dan tidak memprejudiskan perayu.

“Kami berpendapat tidak sesuai perayu mahu membatalkan kesemua pertuduhan, kecuali pertuduhan pindaan ke-3, 7, 8 dan 9.

“Mahkamah menerima rayuan perayu untuk menggugurkan empat pertuduhan bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (AMLATFPUAA),” katanya.

Beliau berkata, pertuduhan terbabit mengatakan kesalahan berlaku di Lembah Klang, sedangkan lokasi itu terlalu luas, ia bukan sahaja merangkumi Kuala Lumpur malah beberapa kawasan di Selangor.

Oleh itu beliau berkata, mahkamah membatalkan pertuduhan itu dan perayu dilepas dan dibebaskan atas empat pertuduhan berkenaan.

Memandangkan keputusan rayuan bagi sembilan kes tidak memihak kepadanya, Abdul Azeez mempunyai satu lagi peluang untuk merayu di Mahkamah Persekutuan di sini.

Susulan keputusan di Mahkamah Rayuan ini, prosiding kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi akan berjalan seperti biasa dan sebutan ditetapkan pada 7 September.

Setakat ini seramai tujuh saksi pendakwaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 19 Ogos 2020.

Pada 12 Mac 2021, Sinar Harian melaporkan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Abdul Azeez untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan perkara itu selepas mendapati pertuduhan yang dikemukakan terhadap Abdul Azeez adalah sempurna dan tidak cacat.

Menurutnya, pertuduhan di bawah pengubahan wang haram juga tiada kekaburan dan alasan yang dikemukakan pemohon adalah tidak berasas.

Malah katanya, pemohon gagal untuk menunjukkan bahawa pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).

Dalam prosiding ini, Abdul Azeez diwakili peguam Amer Hamzah Arshad manakala responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad.

Sumber: Sinar Harian

PALING POPULAR

To Top